KONFLIK perlembagaan antara istana dan eksekutif bukanlah satu perkara baru sejak negara merdeka. Dari pembacaan penulis, konflik perlembagaan pertama berlaku pada tahun 1983 sejurus selepas Datuk Dr Mahathir mengambil alih kepimpinan negara. Pindaan Perlembagaan kepada Perkara 66 (4) adalah untuk mengurangkan kuasa Agong dalam memperkenankan sesuatu rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Parlimen. Sebelum pindaan 1983, semua rang undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen mestilah diperkenankan oleh Agong. Tanpa perkenan Agong rang undang-undang yang diluluskan tidak boleh diwartakan, berkuat kuasa dan mengikat dari segi undang-undang.
Cadangan rang undang-undang pindaan 1983 pada asalnya ialah memberi masa sehingga 15 hari kepada Agong untuk diperkenankan. Ini tidak dipersetujui oleh Agong dan Majlis Raja-Raja kerana dianggap mengurangkan kuasa Agong dan Raja-raja. Berlaku krisis antara eksekutif dan institusi istana buat seketika sehingga satu kompromi terhasil dengan memberi masa sehingga 30 hari untuk mendapat perkenan Agong. Terdapat juga persetujuan dalam tempoh tersebut, Agong boleh memulangkan rang undang-undang tersebut kepada Parlimen untuk penambahbaikan dan pindaan. Tetapi akhirnya, mengikut Perkara 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan, Agong tidak mempunyai pilihan sama ada memperkenankan atau tidak kerana selepas 30 hari, rang undang-undang tersebut menjadi undang-undang.
Konflik perlembagaan kedua berlaku pada tahun 1993 di mana eksekutif mengambil tindakan dengan memasukkan Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan dengan memansuhkan imuniti Raja-Raja atas kapasiti peribadi. Ini kerana, sebelum pindaan 1993, Raja-Raja tidak boleh didakwa sekiranya membuat kesalahan atas kapasiti peribadi. Bagi memastikan keadilan kepada mangsa, tindakan undang-undang boleh dibawa ke atas Raja-Raja atas kapasiti peribadi. Pada asalnya juga, pindaan ini mendapat bantahan daripada Raja-Raja. Akhirnya, Raja-Raja berkompromi dan bersetuju dengan pindaan tersebut. Yang menariknya, semua ahli Ahli Dewan Rakyat dari kerajaan dan pembangkang menyokong pindaan tersebut. Dengan pindaan 1993, Perkara 182 (1) & (2) dimasukkan ke dalam Perlembagaan dengan penubuhan Mahkamah Khas bagi mengadili Agong atau Raja Negeri atas kapasiti peribadi. Walau bagaimanapun, sesuatu prosiding di Mahkamah Khas ke atas Agong atau Raja-Raja Melayu atas kapasiti peribadi hanya boleh dibuat oleh Peguam Negara.
Konflik ketiga dan semasa berlaku bila mana Agong tidak memperkenankan pembatalan Ordinan Darurat 2021 setelah Proklamasi Darurat dibuat pada 11 Januari 2021 tamat pada 1 Ogos 2021. Berlaku perjumpaan dan surat menyurat antara Agong dan Perdana Menteri mengenai pembatalan Ordinan Darurat 2021. Kehendak Agong supaya Ordinan ini dibahaskan dan diungkai di Parlimen.
Konflik ini bermula dengan hasil mesyuarat kabinet pada 21 Julai memutuskan untuk membatalkan Ordinan Darurat 2021. Pada 23 Julai Perdana Menteri mempersembahkan keputusan tersebut kepada Agong untuk perkenan mengikut Perkara 150 (2B). Pada 24 Julai Agong memanggil Menteri Undang-undang & Parlimen dan Peguam Negara menitahkan agar pembatalan Ordinan Darurat 2021 dibawa ke Parlimen yang akan bersidang pada 26 Julai untuk dibahaskan dan diungkai mengikut Perkara 150 (3). Pada 26 Julai, Menteri Undang-undang & Parlimen memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa Ordinan Darurat 2021 telah dibatalkan tetapi tidak memaklumkan bahawa ia telah mendapat perkenan Agong. Pada 29 Julai, satu kenyataan media dikeluarkan oleh Istana Negara menzahirkan bahawa Agong amat dukacita dengan kenyataan Menteri Undang-undang & Parlimen yang mengelirukan Dewan Rakyat. Agong menzahirkan bahawa Ordinan Darurat 2021 perlu dibawa ke Parlimen untuk tujuan perbahasan dan pembatalan.
Pada 29 Julai juga Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan media menjunjung kasih atas kezahiran Agong tersebut. Kenyataan media itu membangkitkan bahawa kerajaan mahu pembatalan Ordinan Darurat 2021 dibuat di luar Parlimen seperti yang diputuskan dalam mesyuarat kabinet pada 21 Julai. Ia telah dipersembahkan kepada Agong pada 23 Julai untuk mendapat perkenan. Kenyataan media itu juga mengingatkan bahawa Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri/Kabinet mengikut Perkara 40 (1) & (1A) Perlembagaan Persekutuan.
Pada tarikh yang sama juga (29 Julai) satu warkah rasmi daripada Agong kepada Perdana Menteri terbocor umum mendapati apa yang dizahirkan dalam kenyataan media dari Istana Negara dengan lebih mendalam. Dalam warkah tersebut dizahirkan bahawa Agong memahami tindakan baginda yang tertakluk kepada nasihat kabinet atau Perdana Menteri mengikut Perkara 40 (1). Namun baginda menzahirkan akan keperluan supaya baginda tidak dipandang serong oleh awam untuk memperkenankan pembatalan Ordinan Darurat 2021 yang sangat hampir dengan persidangan Parlimen pada 26 Julai. Nampaknya, baginda juga memperhalus peruntukan dalam Perkara 40 (1) di mana walaupun baginda bertindak atas nasihat kabinet atau Perdana Menteri, namun dalam keadaan tertentu boleh bertindak tidak mengikut budi bicara baginda mengikut peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan,
Kalau melihat kepada Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan, Agong boleh bertindak mengikut budi bicara dalam: a) pelantikan Perdana Menteri (baca bersama Perkara 43 (2) (a) ); b) tidak memperkenankan permintaan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen (baca bersama Perkara 43 (4) ); dan c) memanggil mesyuarat Majlis Raja-raja yang membabitkan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja dan apa-apa tindakan hasil daripada mesyuarat berkenaan serta dalam apa-apa hal lain disebut dalam Perlembagaan.
Melihat kepada penyelesaian dalam konflik dan krisis perlembagaan pada 1983 dan 1993, penyelesaian yang diambil oleh pihak eksekutif adalah dengan menerima cadangan Agong dalam merungkai kemelut ini. Lagipun, pembatalan Ordinan Darurat 2021 tidak lagi berbangkit dengan berakhirnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos. Pihak eksekutif telah pun mengambil pendekatan harmoni supaya Ordinan Darurat 2021 dibahaskan dan diungkai pada sesi Parlimen bulan September nanti.
Walau bagaimanapun, menjadi adab resam dan kesusilaan budaya Melayu terutamanya apabila melibatkan konflik antara eksekutif dan istana, eloklah pihak eksekutif menjunjung kasih serta memohon ampun atas kekhilafan yang berlaku. Ini bertepatan dengan tiga ungkapan dalam Rukun Negara: Kesetiaan Kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; dan Kesopanan dan Kesusilaan.