Keluarga Malaysia aspirasi pertingkat kesepaduan rakyat

Perlembagaan Persekutuan berteraskan tolak ansur hasil penerimaan semua pihak pelbagai agama dan bangsa, sekali gus kontrak sosial dipersetujui tiga etnik besar iaitu Melayu, Cina dan India membentuk Parti Perikatan.

Peranan Raja-Raja Melayu tidak kurang pentingnya kerana Suruhanjaya Reid diberi tugas untuk menggubal Perlembagaan bertulis bagi Tanah Melayu merdeka mengadakan 118 persidangan dan menerima 131 memorandum daripada semua pihak, termasuk Raja-Raja Melayu.

Hasilnya, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu mula terpakai pada 31 Ogos 1957, menjadi dokumen dapat diterima semua pihak. Ini menunjukkan kesepaduan antara etnik dan agama wujud sejak negara di ambang merdeka dan pascamerdeka.

Pada kaca mata kasar Perlembagaan nampak bersifat berat sebelah, terutama membabitkan hak tertentu seperti kedudukan agama Islam dalam Perkara 3; hak keistimewaan orang Melayu dan Pribumi (Perkara 153); bahasa Melayu (Perkara 152) dan kedudukan Raja-Raja Melayu (Perkara 38).

Bagaimanapun demi kebaikan bersama dan melakukan keadilan (meletak sesuatu pada tempatnya), sudah pasti kita perlu memastikan Perlembagaan digubal sedemikian rupa kekal dan tidak menyimpang daripada tujuan asal.

Peruntukan ini dipersetujui dalam mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Apabila Sabah, Sarawak dan Singapura masuk membentuk Persekutuan Malaysia pada 1963 (Singapura keluar dari Malaysia pada 1965), peruntukan dalam dokumen tertinggi ini diterima pakai kecuali dalam 18 perkara khusus bagi Sarawak dan 20 perkara khusus diberikan kepada Sabah.

Antaranya, bidang kuasa undang-undang adat seperti hal ehwal terkandung dalam undang-undang keluarga termasuk mahkamah adat; hal ehwal berkaitan imigresen; perkapalan dan pelabuhan; pembayaran 10 peratus royalti hasil mineral dan lain-lain.

Sebenarnya, pembentukan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan pembentukan Malaysia berasaskan gabungan pelbagai parti. Contohnya, sejak awal merdeka, Perikatan kemudian menjadi Barisan Nasional (BN) serta gabungan tidak rasmi pembangkang, Barisan Alternatif (BA) pada 1999 yang kemudian menjadi Pakatan Rakyat (PR) pada 2008 dan berakhir dengan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

Di Sabah dan Sarawak juga ada gabungan antara parti, sekali gus menunjukkan pembentukan kerajaan hasil kesepaduan dan gabungan parti mempunyai kepelbagaian agama serta etnik.

Kalau kita melihat sejarah pembinaan negara Madinah, realiti kepelbagaian etnik dan agama wujud di kota suci itu dan diiktiraf dalam Sahifah Madinah. 

Sahifah Madinah menyatukan kepelbagaian kabilah dan agama dalam perjanjian mempertahankan hak warga Madinah serta kesepakatan semua mempertahankan Madinah.

Ia berasaskan fiqh al-ta'ayush (peaceful co-existence) mengiktiraf minoriti orang bukan Islam dalam negara majoriti orang Islam seperti wujud di Malaysia (60-40).

Kesejagatan Sahifah Madinah menekankan betapa mulianya kejadian manusia, semuanya berasal daripada tanah, sekali gus membawa maksud kita semua sama. Sahifah Madinah mengiktiraf semua warga Madinah dan memberi hak sama rata kepada setiap individu tanpa membezakan antara majoriti dengan minoriti, bahkan mengiktiraf kepelbagaian warganya sebagai satu bangsa (one nation).

Tidak ada satu fasal pun dalam Sahifah Madinah bercanggah dengan al-Quran walaupun ia bukan wahyu Ilahi. Ia manifestasi daripada nilai mulia berdasarkan maqasid syariah. Malah, setiap fasal dalam Sahifah Madinah mempromosi rahmat, kebijaksanaan, keadilan dan faedah kepada semua warganya.

Sahifah Madinah mengikat warganya melalui kontrak sosial. Ia memberi keadilan kepada semua tanpa melihat latar belakang etnik dan agama. Sebagai balasan, warga Madinah tanpa mengira kepelbagaian etnik dan agama mempunyai tanggungjawab bersama, iaitu mempertahankan negara.

Sahifah Madinah juga memperuntukkan fasal melindungi hak asasi manusia seperti kebebasan beragama dan bergerak, hak pemilikan serta kesaksamaan di sisi undang-undang.

Inti patinya, Sahifah Madinah menyatupadukan warga Madinah sebagai satu ummah dan satu warga/bangsa.

Deklarasi Marakesh ditandatangani lebih 250 pemimpin agama, negara dan cendekiawan Islam pada 27 Januari 2016, mempertahankan hak minoriti bukan Islam di negara Islam serta mendukung Sahifah Madinah untuk diterima pakai di negara mempunyai kepelbagaian etnik dan agama.

Melihat realiti di Malaysia, kedudukan Islam sebagai agama negara dan kebebasan beragama untuk semua individu dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 3 (1) dan Perkara 11 (1).

Sebenarnya, Perlembagaan Persekutuan bukanlah satu dokumen sekular, sebaliknya bersifat sejagat dan holistik mengambil kira kedaifan penduduk asal secara kebetulan majoritinya adalah Melayu dan etnik asal di Sabah dan Sarawak.

Pembentukan Malaysia didiami kepelbagaian etnik dan agama, terencat pada 1969 antara lain akibat kerenggangan kaum dan jurang ekonomi meluas antara orang Melayu dengan bukan Melayu. Ketidaksamaan ekonomi berpanjangan merentasi etnik menimbulkan prasangka dan perpecahan.

Akibatnya, Rukun Negara diperkenalkan sebagai falsafah kebangsaan Malaysia pada 31 Ogos 1970, tetapi mungkin ramai tertanya-tanya kenapa perpaduan antara etnik dan agama masih belum tercapai pada masa kini?

Kita masih pada tahap inspirasi pertama, iaitu kesepaduan yang dapat dilihat dalam banyak perkara, terutama dalam sambutan hari perayaan agama dan kaum serta semangat kekitaan dalam aspek sukan apabila atlet negara memenangi pingat pada peringkat antarabangsa.

Justeru, pihak pemerintah dan orang ramai perlu menghayati dua komponen terdapat dalam Rukun Negara, terutama sekali komponen pertama yang sering dilupakan. Komponen kedua pula bukan setakat diikrar pada perhimpunan sekolah atau dihidangkan di kulit buku, tertera di dinding sekolah atau tempat awam.

Mungkin pandangan yang mahu memasukkan Rukun Negara sebagai mukadimah dalam Perlembagaan Persekutuan melihat kepada sifat penting terkandung di dalamnya: sifat ideal bertujuan menyatupadukan rakyat pelbagai etnik dan agama; sifat tafsiran membantu mentafsir perkara terkandung dalam Perlembagaan dan sifat substantif mengesahkan undang-undang.

Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara menjadi dua dokumen penting bagi melahirkan perpaduan di negara ini yang menjadi aspirasi negara. Namun, kesepaduan ditunjukkan dalam Keluarga Malaysia mesti dikekalkan dan pertingkatkan agar perpaduan diimpikan tercapai dalam jangka terdekat. 

Sahifah Madinah perlu diambil sebagai sumber rujukan penting melihat bagaimana Rasulullah SAW dapat menyatupadukan pelbagai kabilah dan agama dalam negara Madinah agar ia dapat menjadi model bagi Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published.