DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mengadakan lawatan rasmi ke IKIM

Pada lawatan julung kali ini, Baginda berkenan menyampaikan Titah Syarahan Diraja bertemakan “Keharmonian dalam Perbezaan Agama”.Berikut antara intipati penting Titah Ucapan Baginda :

• Beta tidak menafikan bahawa setiap bangsa dan agama yang dianuti oleh masyarakat di Negara ini adalah berbeza, namun begitu sikap hormat-menghormati dan toleransi adalah sangat penting dalam menyantuni perbezaan ini.• Beta menyedari bahawa walaupun setiap penganut agama adalah berbeza dari segi kepercayaan, aqidah dan amalannya, namun agama berperanan membimbing manusia melalui nilai-nilai murni yang terkandung dalam ajaran-ajaran setiap agama. Nilai-nilai murni inilah yang seharusnya dijadikan asas kepada usaha membangunkan manusia yang bertamaddun dan progresif.

• Beta amat yakin bahawa jika masyarakat berbilang bangsa dan agama di Malaysia hari ini bersedia untuk mengamalkan sikap berganding bahu dan menghormati anutan agama masing-masing, InsyaAllah segala niat dan usaha murni dalam memartabatkan agama dan memperkukuhkan hubungan rapat dalam masyarakat daripada pelbagai agama, budaya dan bangsa ini dapat dicapai.

• Dari sudut pandangan Islam, perbezaan agama dan bangsa tidak boleh dijadikan alasan kepada kezaliman atau permusuhan terhadap penganut agama atau bangsa lain. Ini dijelaskan di dalam sebuah hadis di mana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda: "Sesiapa menzalimi orang bukan Islam yang diikat perjanjian setia kepada kerajaan Islam atau mengurangkan haknya, atau membebankannya di luar keupayaannya atau diambil sedikit daripada haknya tanpa kebenarannya, maka aku menjadi pembelanya (orang yang dizalimi) pada hari Kiamat." (Hadis Riwayat Abu Daud).

• Beta menyeru kepada para ulamak dan cendiakawan Islam agar dapat mentafsirkan ajaran agama Islam berdasarkan fahaman ahli Sunnah Wal Jamaah dan dari sumber yang sahih dan benar. Beta mengharapkan para ulamak dan cendiakawan Islam tidak menggunakan tafsiran yang ekstrim atau keterlaluan terhadap sesuatu permasalahan agama yang melibatkan umat Islam sehingga boleh memecahbelahkan masyarakat Islam di Negara ini. Di samping itu permasalahan agama yang melibatkan masyarakat Islam perlu diselesaikan secara muafakat dan baik tanpa perlu dibahaskan secara terbuka bagi mengelakkan perdebatan yang mengundang kepada kekeliruan dalam masyarakat.

• Adalah menjadi hasrat Parlimen yang diterjemahkan ke dalam Perlembagaan Negara untuk menjadikan agama sebagai punca kepada perpaduan, keamanan, kedamaian dan ketenteraman yang merupakan anugerah tertinggi daripada Allah Subhanahu Wata’ala. Perasaan hormat antara kaum dan agama juga merupakan teras kepada Rukun Negara yang menekankan kesopanan dan kesusilaan dalam konteks perhubungan antara kaum.

• Sukacita Beta menegaskan di sini bahawa Insitusi Raja memainkan peranan yang penting bagi memastikan penyatuan pelbagai kaum, budaya dan agama ini akan sentiasa terpelihara sebagai tunggak utama kemakmuran Negara. Institusi Raja akan terus kekal sebagai satu badan berkecuali yang mengatasi politik dan berperanan memberi nasihat dan teguran kepada kerajaan dan Institusi agama terutamanya dalam soal memelihara perpaduan kaum.

• Beta mahu IKIM memainkan peranan yang penting dalam memberi kefahaman Islam yang sebenar kepada masyarakat mengenai aspek kepelbagaian dalam masyarakat dan seterusnya membantu dalam memperkukuhkan keharmonian dan perpaduan kepada masyarakat di Negara ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.